Wednesday, October 22, 2008

Topik: Politik Islam


Pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz


“Baru satu abad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali berbeza berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dahulu. Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w. telah mula berputik kembali. Sifat suka mementingkan kabilah, semangat berpuak dan mengutama saudara sendiri menjadi ciri-ciri baru kerajaan Islam pada masa itu. Kerajaan tidak lagi dinilai dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah, tetapi diukur atas keperluan semasa dan kepentingan negara. Pemimpin-pemimpin Islam sudah pandai bermewah-mewah, melakukan penindasan dan bermegah diri. Sehinggakan Baitul Mal, jadikan sebagai harta peribadi mereka.

Masyarakat Islam pula semakin kaya dan leka, mereka semakin meninggalkan penghayatan ilmu dan nilai-nilai Islam. Kekuatan hawa nafsu dan bisikan syaitan telah mencampak mereka ke lembah kealpaan. Kasih sayang tuhan mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingin melihat umat Islam tergelincir ke dalam kegelapan. Dalam cahaya suram yang kelam, terpancarlah sinar yang membawa seribu harapan. Khalifah Umar Abdul Aziz menyelamatkan Islam dan umatnya dengan mengembalikan Islam seolah-olah ke zaman permulaannya.

Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’.Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu. Sejak kecil lagi beliau didik dengan ilmu agama. Minat dan kecenderuangan beliau kepada ilmu, membawa beliau ke kota Madinah. Di sanalah beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu. Semasa pemerintahan al-Walid ibn Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun. Di sini beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah”

Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan kerajaan dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil. Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan, semua barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal. Istana pula telah dihias secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah beliau digelar sebagai Umar II. Hidup beliau telah berubah sama sekali, kemewahan dan kemegahan telah ditanggalkan dan digantikan dengan kehidupan yang penuh zuhud dan kesederhanaan.

Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang terdapat dirumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut menganggu beliau dengan bau bawang. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakkku adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?”

Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar zaman itu, namun tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah sampai satu masa, beliau diberitahu khadamnya, duit untuk menunaikan haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Pernah juga Umar Abdul Aziz datang untuk lewat menghadiri solat Jumaat kerana terpaksa menunggu bajunya yang sehelai itu kering.

Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar, perhatian negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan rohani dan keagamaan. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika, setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tatapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum muslimin.

Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.

Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mangubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.

Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam. Sehingga ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

1 comment:

syafiqah said...

betapa hebatnya kepimpinan umar abdul aziz...corak kepimpinan yg sebeginilah yg seharusnya kita contohi..igtlah jika kita menjadi seorg pemimpin di masa hadapan jgnlh kite mnjadi seorg pemimpin yg hnya mementingkn urusn duniawi tanpa memikirkn akhirat..apabila kita deberi tanggungjwb sbgi seorg pemimpin kte hendaklah menggalasnya dgn sepenuh hati dan jgn lah kte menganggapnya sbg satu kebanggaan..kte hndklah menjalankan tanggungjwb yg sewajarnya untuk memastikan org2 di bwh kite ke arh yg sama iaitu ke arah yg diredhai ALLAH, sentiasa memastikan segalanya seimbang dunia dan akhirat...

semoga ekal dpt jd seorg pemimpin yg berwibawa in the future,tak kn nk jd pengembala lembu je kot..he2