Tuesday, October 21, 2008

Topik: Negara Islam

Konsep Negara Islam


Ciri-Ciri Negara Islam


Terdapat tiga ciri-ciri penting di dalam menegakkan Negara Islam.
Syariat Islam yang mesti dipatuhi kepadanya.
Umat yang mendokonginya
Pemerintahan Islam yang menaunginya.




Syariat Islam Yang Mesti Dipatuhi Kepadanya


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili di antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana membela (orang-orang yang khianat)."


Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:
"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat dari urusan agama itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui."




Syariat Allah wajib menjadi aqidah negara dan pegangan kerajaan. Perlembagaan dan segala urusan pemerintahan hendaklahdirujuk kepadanya, kerana menurut Islam;
Semua manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan peringkat adalah hamba kepada Allah. Tidak harus bagi manusia berlagak menjadi Tuhan sama ada orang perseorangan atau kumpulan. Sebarang tindakan atau amalan mempersucikan manusia. Memberi kuasa mutlak kepada orang perseorangan atau kumpulan yang mengadakan hukum syariat menurut kemahuan adalah syirik dan mengaku mempunyai hak ketuhanan.


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka daripada perkara ad-Deen yang tidak diizinkan oleh Allah."


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu (Muhammad SAW) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya."




Semua manusia adalah sama dari segi asal usul mereka dan diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Walaupun berbagai-bagai bangsa dan menggunakan berbagai-bagai bahasa. Mereka tetap mempunyai titik persamaan sebagai manusia yang bersifat manusia dan semua mereka adalah hamba Allah.


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami mencipta kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kullit. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui."
Setiap orang mempunyai tanggungjawab sebagai makhluk sama ada ia pemerintah atau rakyat biasa.


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku."
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud"
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin. ia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang lelaki pemimpin pada ahlinya dan ia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan ia ditanya tentang rakyatnya, dan khadam itu menjadi pemimpin urusan harta tuannya dan ia akan ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan ia ditanya tentang rakyatnya, maka semua kamu adalah pemimpin dan ditanya tentang rakyatnya."




Tanggungjawab itu ada dua bahagia.
1. Di dunia yang mesti diatur menurut syariat Allah.
2. Di akhirat di mana ia bertanggungjawab di hadapan Allah SWT.


Sumber hukum syariat kepada manusia sama sahaja dengan sumber peraturan tabi'e kepada makhluk lain. Mereka mestilah patuh kepada apa yang ditentukan oleh Allah dan manusia pula menerima taklimat Hukum Allah dari para Rasul yang dipilih oleh Allah. Syariat tersebut benar-benar menepati fitrah (naluri) manusia dan ditetapkan secara qat'i (putus) dalam perkara-perkara yang tidak dapat di capai oleh akal manusia dan diberi dasar umum dalam perkara yang dapat dikaji dengan akal yang betul dan dinyatakan batas-batas agar manusia tidak terlanjur dengan akalnya semata-mata. Dalam konteks Negara Islam, terdapat begitu banyak sumber-sumber yang boleh dipakai sepanjang zaman. Di antara sumber-sumbernya ialah:
Al-Quranul Karim, yang diwahyukan dari Allah SWT. Di dalamnya terkandung semua perkara-perkara dalam kehidupan manusia, bermula dari perkara hubungan mereka dengan Allah SWT sehingga kepada hubungan mereka dengan bahan-bahan yang ada di atas muka bumi yang ditugaskan mereka memakmurkannya. Di dalamnya terdapat ayat-ayat yang menjadi perlembagaan Negara Islam , yang menjadi dasar dan hukum pembentukan masyarakat dan segala kegiatan yang mempunyai matlamat yang sebenar.


Sunnah Rasulullah SAW. Bagaimana Rasulullah SAW mempraktikkan Hukum Allah SWT yang ada di dalam al-Quranul Karim. Bagaimana Rasulullah SAW melaksanakan Islam di dalam masyarakat dan negara yang paling majmuk. Darinya kita dapat memahami bagaimana dan ke arah mana al-Quran itu diamalkan.


Perjalanan Al-Kulafah ar-Rasyidin. Mereka yang menjadi Ketua Negara selepas wafatnya Rasulullah SAW. Melalui perjalanannya kita dapat memahami bagaimana penyelesaian yang kadang-kadang ada perkara yang tidak timbul di zaman Rasulullah SAW, tetapi dapat di hadapi dengan selamat berdasarkan al-Quran dan Hadith Nabi SAW.
Pendapat Ulama' Muhtahiddin. Iaitu mereka yang memahami isi kandungan al-Quran dan Hadith dan juga masalah semasa dengan pandangan-pandangan tajam sehingga dapat diputuskan hukum dan menyelesaikan semua masalah. Di dalam kitab-kitab karangan mereka amat kaya dengan bahan-bahan untuk Negara Islam.


Tegaknya Negara Islam itu hendaklah di atas dasar membebaskan manusia dari pengabdian sesama makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Apabila dasar pengabdian diri hanya kepada Allah SWT dijunjung di dalam sesebuah negara, maka berlakulah keadilan sejagat dan mutlak. Tiadalah manusia dianggap istimewa di dalam melaksanakan undang-undang kepadanya. Inilah yang diucapkan oleh Raba'i bin Amir kepada Rustam, panglima tentera Farsi yang bermaksud:
"Allah membangkitkan kami untuk menyelamatkan sesiapa yang mahu lari dari mengabdikan diri kepada sesama hamba (manusia) kepada mengabdikan diri kepada Allah dari kezaliman berbagai-bagai ajaran kepada keadilan Islam dan dari kesempitan dunia kepada yang luas terbentang."


Syariat Islam itu mampu memenuhi keperluan manusia sejagat dalam semua keadaan dan masa kerana ia mempunyai beberapa sifat keistimewaan yang tidak ada pada ajaran yang lain. Bagi menghuraikannya satu persatu memerlukan ruang yang panjang, saya hanyalah mengemukakan secara rengkas untuk menjadi asas perbincangan kita bersama. Di antaranya ialah:


1. Beriman kepada Allah yang membawa kepada ketundukan dan kepatuhan yang ikhlas bagi menegakkan hukum agama-Nya. Menjadikan seseorang itu tidak ragu-ragu tentang kejayaan Hukum Islam yang diberikan jaminan oleh Allah SWT lalu ia tidak membuat pilihan lain lagi. Tidak lagi dipengaruhi oleh kepentingan diri atau puak. Perlaksanaan dari hati ikhlas dan bukannya berpura-pura untuk menarik sokongan manusia semata-mata. Ia tetap menegakkan keadilan dan kebenaran walaupun ia jatuh dan tumbang kerananya. Tanggungjawab seseorang yang beriman itu bukan sahaja di dunia tetapi ia menyedari matlamatnya iaitu mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Maka tiadalah sikap mengabdikan diri sesama manusia atau mempermainkan mereka dengan kuasa pemerintahan yang ada.




2. Kemanusiaan sejagat. Di mana hukum Islam itu menjadi rahmat kepada manusia seluruhnya. Bukan hanya untuk sesuatu bangsa atau sesuatu kawasan atau menurut sempadan negeri sahaja. Fahaman Asobiyyah yang termasuk di dalam fahaman nasionalisme adalah bertentangan dengan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Bukan dari kalangan kami, orang yang menyeru ke jalan asobiyyah. Dan bukan dari kalangan kami orang yang berjuang di atas jalan asobiyyah dan bukan dari kalangan kami orang yang mati di atas dasar asobiyyah."
Apabila ditanya, apakah makna asobiyyah, Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud:
"Kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman."
Maka tiada orang yang istimewa di bawah undang-undang atau membahagikan hak kerana apabila meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya adalah zalim.


3. Keadilan mutlak, yang mesti ditegakkan di kalangan manusia ke arah mewujudkan persaudaraan di kalangan mereka. Memelihara kebebasan beragama walaupun kita tetap menyatakan bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar. Memelihara nyawa, akal, akhlak, keturunan dan hartabenda kerana semua manusia adalah hamba Allah SWT dan bukannya hamba kepada negara dan kerajaan. Kerajaan Islam adalah pelaksana hukum Allah SWT dan bukannya pembuat atau pengubal hukum menurut kemahuan merekadalam perkara yang tidak diizinkan oleh agama. Sejarah Islam kaya dengan contoh-contoh keadilan dan menolak kezaliman. Keadilan mestilah ditegakkan walaupun terhadap musuh negara. Apa lagi terhadap rakyat termasuk rakyat bukan Islam yang memberi taat setia kepada Negara Islam. Keadilan itu berlaku dalam semua perkara. Bukan sahaja di mahkamah tetapi juga di dalam pentadbiran dan pembahagian hak.




4. Pertimbangan di antara kepentingan individu dan kepentingan masyarakat. Ini berbeza dengan negara-negara kapitalis yang terlalu memberi hak kepada individu sehingga menjejaskan kepentingan masyarakat. Tidak juga seperti negara komunis dan sosialis yang melampau dalam membela kepentingan masyarakat, kononnya tetapi sebaliknya merampas beberapa hak individu. Di antara contoh yang nyata di dalam perkara ini ialah dalam aspek memberi hak milik kepada rakyat. Di dalam al-Quran dan al-Hadith Nabi SAW, menyatakan bahawa di antara sifat manusia ialah memiliki sesuatu dan hidup bermasyarakat. Oleh itu beberapa perkara yang menjadi sumbangan kepada masyarakat di wajibkan di dalam Islam, seperti zakat dan lain-lain tanpa menghapuskan naluri kepentingan individu yang ada pada manusia.






5. Thabat dan Marunah (Teguh dan Anjal) Iaitu teguh dalam perkara-perkara dasar dan beberapa perkara cabang serta perkara yang menjadi matlamat manusia yang tidak mampu mereka tentukan dengan akal mereka semata-mata. Islam tidak pernah mengikat penggunaan ilmu pengetahuan yang betul di dalam menghadapi perubahan masyarakat menurut masa dan tempat lalu diizinkan berijtihad kepada orang yang mempunyai keahlian dan memberi hak yang dinamakan siasah syariah kepada pemerintah mengendalikan masyarakat dan negara yang mengalami cabaran dan situasi yang berbeza-beza tanpa menyanggah Hukum Islam yang tetap untuk memberi kebaikan kepada manusia.

1 comment:

syafiqah said...

adakah negara kita mengamalkan konsep negara islam..? marilah kite renungkan dan memikirkan sejenak beberapa perkara penting berkaitan konsep negara islam ini...adakah semua konsep tersebut diadaptasikan dalam sistem perundangan dan perlembagaan negara kita..