Thursday, October 9, 2008

Topik: Akidah


Langkah-langkah Mengukuhkan Akdah

Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengukuhkan akidah, salah satu pendekatan yang penting adalah memberikan didikan agama kepada anak-anak pada peringkat awal. Sebenarnya pendidikan awal adalah bermula dari rumah, bukan dari sekolah. Keluarga mestilah mendidik anak-anak dengan ajaran agama yang betul. Aspek yang mesti diajar kepada anak-anak adalah berkaitan dengan kepercayaan. Rukun iman dan Rukun Islam yang menjadi asas akidah Islam itu adalah perkara asas yang wajib diajarkan kepada anak-anak. Dengan adanya asas yang kukuh dalam diri seseorang itu, ini akan dapat menghindari dari melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah.
Bagi mengukuhkan akidah, banyak langkah yang boleh kita lakukan antaranya ialah melakukan banyak perkara sunat seperti membaca Al Quran, solat tahajud dan bersedekah. Dalam keadaan kita melakukan aktiviti begini, jiwa dan hati kita akan terasa tenteram serta tenang. Keadaan ini akan menggalakkan diri kita untuk menambahkan amalan-amalan sunat dan dalam masa yang sama akan dapat mengukuhkan akidah. Walaupun perkara ini bukan mudah untuk dilakukan, tapi dengan melakukan dengan permulaan yang sedikit dan melakukannya setiap hari adalah cara yang terbaik untuk melakukannya.
Sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT juga boleh mengukuhkan akidah seseorang. Dalam kehidaupan harian kita, kita tidak pasti sama ada kita melakukan dosa atau tidak. Contoh dalam melakukan amalan seperti Solat, belum tentu kita khusyuk sepenuhnya. Jadi ini boleh mendatangkan dosa atau sekurang-kurangnya akan mengurangkan pahala. Jadi langkah yang terbaik adalah dengan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT. Sedangkan nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW yang maksum dari melakukan dosa sentiasa memohon keamunan, inikan kita yang tidak terlepas dari melakukan dosa.
Selain itu, bagi mengukuhkan akidah kita mestilah sentiasa mendalami pengetahuan dan ilmu keagamaan kita agar pengaruh-pengaruh dari luar tidak dapat mempengaruhi kita. Dalam suasana dunia yang semakin canggih, kita tidak akan terlepas daripada menerima pelbagai pengaruh sama ada baik atau buruk. Kenyataannya sekarang, ramai manusia yang bertambah cerdik, bijak dan pandai sehinggakan kepintaran mereka itu digunakan untuk membuatkan diri mereka terkenal. Ada segelintir manusia yang sudah terlalu pandai menganggap merekasebagai tuhan, rasul dan utusan-utusan tuhan. Dengan cara mendalami pengetahuan agama, kita akan mampu untuk menepis kenyataan ini agar tidak terpengaruh dan dalam masa sama akan meningkatkan kepercayaan serta keimanan kepada Allah SWT.
Mengukuhkan akidah bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, ia perlukan kekuatan iman. Ini adalah asas utama dalam mengukuhkan akidah. Persoalan iman dan akidah mestilah ditangani dengan sebaik-baiknya agar pada masa akan datang, anak-anak yang akan mewarisi kehidupan akan dapat hidup dalam suasana yang penuh harmoni, aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak. Apa yang penting sekarang adalah peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak bermula dari rumah. Pendidikan asas agama penting untuk mereka aplikasikan dalam kehidupan. Pendidikan dari rumah akan berlanjutan ke peringkat sekolah dan pada peringkat ini, guru-guru turut terlibat dalam mendidik anak-anak, terutamanya mendidik agama itu sendiri.

1 comment:

syafiqah said...

salam..semoga artikel ini dpt memberi manfaat kepada insan yg membacanya dan juga pemilik blog ini..diharapkan langkah-langkah mengukuhkan akidah ini dpt dijadikan panduan kpd diri sendiri dn disebarkan kpd umat islam sejagat..bersama-samalah kita memantapkan akidah islamiyah kita agar dapat menjadi umat yg cemerlang di dunia dan di akhirat..Amin...